top of page
NUS Malay Studies Society

Sejarah Sebagai Medan Persaingan Idea Dan Ideologi

by Syazwani Binte Sanep (Coretan 2019/20: Kita Edition)


Picture 1: 'Singapore Harbour and Chinese Quarters' from "Ocherki Perom i Karandashom iz Krugosvetnogo Plavaniya" by Aleksei Vysheslavtsev, Saint Petersburg, 1862.


Sepanjang lawatan kami ke pameran yang berjudul “Yang Tertinta: Singapura sebelum 1867” pada tanggal 6 November 2019, bahagian pameran yang menarik perhatian saya adalah bahagian yang dinamakan “Mendokumentasi Sejarah Awal Singapura”. Segmen ini memaparkan bahan-bahan cetak dan manuskrip sejarah awal Singapura yang dihasilkan oleh rakyat tempatan (bukan Eropah). Ternyata, bahan-bahan rakyat tempatan membentuk jumlah yang kecil berbanding bahan-bahan dari sumber Eropah. Oleh sebab keterbatasan bahan-bahan penting dari kaca mata rakyat tempatan, ini memupuk minat saya untuk membuat renungan akan bahagian pameran ini.

Syair Dagang Berjual Beli oleh Tuan Siami (atau Simi) istimewa kerana memberikan pandangan kritikal terhadap kehidupan pada zaman awal penjajahan (Singapore & Singapore, 2019).

Syair Dagang Berjual Beli menyingkap tentang bagaimana pengurusan ekonomi ketika itu tidak menyokong pedagang pribumi. Seorang anak negeri telah menyuarakan ketidakadilan British East India Company (EIC) dan jaringan orang tengah Cina dan Indianya yang berlaku dari segi amalan perniagaannya (Singapore & Singapore, 2019). Pedagang pribumi rantau ini kelihatan seringkali dipermain-mainkan oleh kelompok pedagang yang lebih bijak, licik dan berpengalaman dalam kerja berniaga mereka (Azhar, n.d.). Lebih-lebih lagi, mereka sepertinya kurang berpengetahuan dan kefahaman akan undang-undang yang digunakan di Singapura. Natijahnya, ia memudahkan lagi usaha pemerintah kolonial untuk mengambil kesempatan atas pedagang pribumi demi mempertahankan kuasa dan agenda pihak kolonial.

“Terbaliklah sudah hujan ke langit

Adat dan perintah sekalian tersepit

Inilah dikarang dijadikan pengingat

Baiklah jaga-jaga yang amat sangat”


Ini jelas memaparkan betapa risau Tuan Simi akan situasi masyarakat Melayu tersebut dan lantaran itu, menggesa khalayak Melayu untuk bersikap waspada agar tidak mudah diperbodohkan dan dieksplotasikan oleh sesiapa sahaja terutama sekali golongan berkuasa. Gambaran ketidakadilan golongan penjajah yang berkuasa pada masa itu berkemungkinan tidak tercatat dalam beberapa bahan sejarah dari sumber orang Eropah demi menjaga imej dan reputasi penguasaan mereka. Justeru, kita mungkin tidak akan ketahui situasi sebenar yang dihadapi para penduduk Singapura jika tidak meneliti bahan dari rakyat setempat.

Karya Tuan Simi ini tidak ketahui ramai akan kewujudannya walaupun karya ini merupakan salah satu karya tempatan yang kecil jumlahnya pada abad ke-19. Saya sendiri tidak terkecuali. Pada hemat saya, masyarakat dasawarsa ini mungkin tidak sedar akan jumlah bahan-bahan penting dari sumber bukan Eropah yang terhad. Malah, ini dapat dilihat menerusi bahan-bahan sejarah yang digunakan untuk mengajar generasi muda Singapura di sekolah mahupun di muzium tempatan yang kebanyakkannya menggunakan bahan-bahan Eropah.

Hakikatnya, terdapat kemungkinan bahawa golongan Eropah ataupun golongan luar secara umumnya mampu mendominasi bahan-bahan sejarah masyarakat kita. Secara tidak langsung, ideologi yang dibawa mereka mampu juga mencemari, mencengkam mahupun menguasai kehidupan kebudayaan masyarakat Melayu jika ketidakpedulian masyarakat untuk mengiktiraf situasi tersebut berlarutan. Apatah lagi, lapangan takrifan sejarah atau lebih dikenali sebagai “contested site” tidak putus-putus mempunyai persaingan interpretasi dan versi (Azhar, n.d.). Jika masyarakat Melayu tidak kedepankan bahan-bahan rakyat tempatan yang dicatatkan pada ketika dahulunya, bahan-bahan dari perspektif kumpulan lain akan menguasai bahan-bahan sejarah Singapura. Sememangnya amat memalukan jika masyarakat Melayu sendiri seolah-oleh tidak menghargai karya-karya rakyat setempat sedangkan golongan luar tampak lebih berminat untuk mengkaji karya-karya tersebut. Saya tidak mempertikaikan bahan-bahan yang bersumberkan orang luar tetapi yang ingin saya tekankan di sini adalah karya-karya tempatan patut dimartabatkan setanding dengan sumber-sumber luar khususnya oleh masyarakat Melayu. Kedua-dua sumber ini penting untuk diteliti akan jurang di antara rakaman sejarah itu mahupun ideologi yang terselindung supaya masyarakat dasawarsa ini lebih memahami dan mengambil iktibar dari sejarah.


Syazwani Binte Sanep is a Year 2 Malay Studies major. She is currently serving as the executive member of the NUS Malay Studies Society.

 

Azhar, I. (n.d.). Sastera Singapura Abad Kesembilan-Belas: Manusia Melayu dan Sejarah Sosialnya.

Huism, T. (2019). Hikayat Abdullah. In On Paper Before 1867. National Library Board Singapore.

Singapore, N. L., & Singapore, N. A. (2019). Yang Tertinta: Singapura sebelum 1867.


Comments


bottom of page